PEDi Bukit Raya Dalam dahulunya dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Tokai yang terletak di Dewan Komuniti Pekan Tokai, Pendang Kedah iaitu bersebelahan dengan bangunan Perpustakaan Desa Tokai dan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya. Ditubuhkan pada tahun 2009 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), penubuhan Pusat Jalur Lebar Komuniti ini bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan ICT kepada penduduk luar bandar. Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) merupakan projek Fasa 2 selepas Perpustakaan Jalur Lebar (PJL). Setiap Pusat Komuniti Jalur Lebar (PJK) yang telah ditubuhkan mempunyai peralatan IT dan komputer individu yang bersambung dengan capaian jalur lebar internet, membolehkan komuniti desa menikmati kebaikan internet seperti yang dirasai oleh komuniti di bandar. Untuk memastikan komuniti luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi, mendapat kebaikan daripada peralatan IT dan penyambungan internet, setiap PJK menyediakan latihan dan perisian komputer. 

Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Tokai telah dirasmikan pada 27 Februari 2011 oleh Pegawai SKMM iaitu Encik Mohd Faizal Bin Azizan. Pada Desember 2012, nama Pusat Jalur Lebar (PJK) Tokai telah ditukar kepada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Bukit Raya, Tokai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertujuan untuk menambah baik fungsi penubuhannya. Antara program yang telah dijalankan ketika itu adalah Program Hari Kembara Jalur Lebar, Program Latihan 1Malaysia, Program 1 Citizen, Program Keusahawanan, Program Get Malaysia Business Online (GMBO) dan Program Klik Dengan Bijak.

Antara program yang dijalankan ketika Pusat Internet Bukit Raya, Tokai masih beroperasi di Pekan Tokai

Pada Mac 2015 PEDi Bukit Raya, Tokai sekali lagi mengalami proses penambahbaikan apabila menerima peruntukan oleh SKMM untuk menaiktaraf semua PEDi fasa 2 seluruh Malaysia agar selaras bersama fasa-fasa lain Pusat Internet. Memandangkan keadaan bangunan PEDi Bukit Raya, Tokai sudah lama, jadi SKMM dan TM memutuskan untuk mencari bangunan baru. Melalui hasil kaji selidik dan kerjasama oleh pihak pengurusan PEDi Bukit Raya, Tokai bersama komuniti Mukim Bukit Raya akhirnya memilih bangunan kedai yang terletak di Kampung Bukit Raya Dalam yang jaraknya hanya 5 KM dari lokasi asal. Nama rasmi PEDi Bukit Raya Tokai juga ditukar kepada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Bukit Raya Dalam agar sama seperti nama lokasi baru.

23 Mac 2016 merupakan tarikh dimana PEDi Bukit Raya Dalam dibuka secara rasmi kepada komuniti selepas lulus SAT (service accepted test) dan mendapat kelulusan oleh pihak SKMM dan TM. PEDi Bukit Raya Dalam ini telah dirasmikan pada Hari Bersama Komuniti iaitu pada 16 Mei 2016 oleh Penghulu Mukim Bukit Raya, Encik Jamani Bin Jamaludin.

 PEDi Bukit Raya Dalam kini di lokasi baru iaitu di Kg Bukit Raya Dalam.