Nama ‘Pendang’ dikatakan berasal daripada nama ‘Pendiat’ yang bermakna parit atau lubang yang digali khas untuk menangkap dan menjinakkan gajah.Gajah-gajah yang telah dijinakkan dimandikan di telaga sejarah yang terdapat berhampiran Balai Polis Daerah Pendang.

Menurut sejarah, telaga ini adalah telaga asal dan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau panjang.Anak-anak gajah dipelihara di sebuah kampung yang bernama Kubang Anak Gajah dan gajah-gajah yang mati pula akan ditanam di satu tempat bernama Kampung Gajah Mati.

Pada zaman tersebut, Pendang adalah tempat pembiakan gajah yang terbesar dan terkenal di Negeri Kedah selain dari Mukim Naga di Daerah Kubang Pasu. Gajah menjadi kenderaan utama pada masa itu terutama sebagai kenderaan darat untuk menghantar ‘ufti’( Bunga Emas ) ke Negeri Siam.

Pendang merupakan sebuah daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman yang diwartakan pada 1 Februari 1975 dan disempadan oleh Daerah Kota Setar di bahagian Utara, Daerah Yan di Barat, Daerah Padang Terap dan Sik di sebelah Timur dan Daerah Kuala Muda di bahagian selatan. Keluasan bagi Daerah Pendang ialah 62,929 hektar atau 629.29 kilometer persegi dan terbahagi kepada lapan mukim iaitu Mukim Tobiar, Mukim Padang Pusing, Mukim Guar Kepayang, Mukim Padang Peliang, Mukim Rambai, Mukim Bukit Raya, Mukim Padang Kerbau dan Mukim Air Puteh.Sebanyak 27,639 hektar tanah di Daerah Pendang digunakan untuk tanaman getah manakala 18,462 hektar tanah digunakan untuk tanaman padi.

Antara tanaman yang semakin pesat diusahakan di Daerah Pendang ialah rambutan, durian, cempedak, mangga, dokong, limau bali, nangka dan manggis. Sektor perniagaan yang terdapat di Daerah Pendang dibahagikan kepada dua kategori iaitu perniagaan formal (barang runcit dan perkhidmatan) dan perniagaan tidak formal (gerai dan penjaja). Aktiviti perniagaan di Daerah Pendang tertumpu pada kawasan penempatan utama seperti Pekan Pendang, Tanah Merah, Tokai, Kubur Panjang, Bukit Jenun, Kilang Kechik, Kokbah dan Kampung Baru

PEDi Bukit Raya Dalam dahulunya dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Tokai yang terletak di Dewan Komuniti Pekan Tokai, Pendang Kedah iaitu bersebelahan dengan bangunan Perpustakaan Desa Tokai dan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya. Ditubuhkan pada tahun 2009 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), penubuhan Pusat Jalur Lebar Komuniti ini bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan ICT kepada penduduk luar bandar. Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) merupakan projek Fasa 2 selepas Perpustakaan Jalur Lebar (PJL). Setiap Pusat Komuniti Jalur Lebar (PJK) yang telah ditubuhkan mempunyai peralatan IT dan komputer individu yang bersambung dengan capaian jalur lebar internet, membolehkan komuniti desa menikmati kebaikan internet seperti yang dirasai oleh komuniti di bandar. Untuk memastikan komuniti luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi, mendapat kebaikan daripada peralatan IT dan penyambungan internet, setiap PJK menyediakan latihan dan perisian komputer. 

Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Tokai telah dirasmikan pada 27 Februari 2011 oleh Pegawai SKMM iaitu Encik Mohd Faizal Bin Azizan. Pada Desember 2012, nama Pusat Jalur Lebar (PJK) Tokai telah ditukar kepada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Bukit Raya, Tokai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertujuan untuk menambah baik fungsi penubuhannya. Antara program yang telah dijalankan ketika itu adalah Program Hari Kembara Jalur Lebar, Program Latihan 1Malaysia, Program 1 Citizen, Program Keusahawanan, Program Get Malaysia Business Online (GMBO) dan Program Klik Dengan Bijak.

Antara program yang dijalankan ketika Pusat Internet Bukit Raya, Tokai masih beroperasi di Pekan Tokai

Pada Mac 2015 PEDi Bukit Raya, Tokai sekali lagi mengalami proses penambahbaikan apabila menerima peruntukan oleh SKMM untuk menaiktaraf semua PEDi fasa 2 seluruh Malaysia agar selaras bersama fasa-fasa lain Pusat Internet. Memandangkan keadaan bangunan PEDi Bukit Raya, Tokai sudah lama, jadi SKMM dan TM memutuskan untuk mencari bangunan baru. Melalui hasil kaji selidik dan kerjasama oleh pihak pengurusan PEDi Bukit Raya, Tokai bersama komuniti Mukim Bukit Raya akhirnya memilih bangunan kedai yang terletak di Kampung Bukit Raya Dalam yang jaraknya hanya 5 KM dari lokasi asal. Nama rasmi PEDi Bukit Raya Tokai juga ditukar kepada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Bukit Raya Dalam agar sama seperti nama lokasi baru.

23 Mac 2016 merupakan tarikh dimana PEDi Bukit Raya Dalam dibuka secara rasmi kepada komuniti selepas lulus SAT (service accepted test) dan mendapat kelulusan oleh pihak SKMM dan TM. PEDi Bukit Raya Dalam ini telah dirasmikan pada Hari Bersama Komuniti iaitu pada 16 Mei 2016 oleh Penghulu Mukim Bukit Raya, Encik Jamani Bin Jamaludin.

 PEDi Bukit Raya Dalam kini di lokasi baru iaitu di Kg Bukit Raya Dalam.

Bukit Raya berasal dari nama sebuah bukit di Kg. Bukit Raya. Menurut Kajian dan cerita dari mulut orang tua-tua dahulu iaitu Tuan Haji Salleh Bin Haji Puteh, nama Kampung Bukit Raya berasal dari nama Kg. Bukit Raja, nenek beliau pernah berkhidmat dengan keluarga Diraja yang tinggal disini.

Semenjak Tahun 1840 lagi kekanda kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Raja memerintah Negeri Kedah) yang bernama Tengku Rahimah telah membina sebuah istana diatas Bukit Raja.—Bekas tapak Istana ini sekarang telah dijadikan Kompleks Bernas. Pengaruh dari penjajahan Siam keatas Negeri Kedah dahulu telah mempengaruhi dialek atau loghat dan pertuturan penduduk(Pelat Siam) setempat, terutamanya bagi Kg. Alor Mengkuang, Kg. Alor Ali, Kg.Tok Pauh dan Kg. Senggora.

Bagi sesetengah orang tua-tua masih boleh bertutur bahasa Siam tempatan, demikian jugalah pengaruh perkataan Raja menjadi Raya atau Bukit Raya. Terdapat juga hubungan kekeluargaan dengan penduduk di Selatan Thailand seperti Wilayah Patani,Yala, Senggora dan Satun sehingga hari ini.