Datuk Wira Dr. Maznah Hamid adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce. Beliau juga merupakan seorang pakar motivasi yang terkenal di Malaysia. Beliau adalah antara pakar motivasi yang telah banyak memberi ceramah dan motivasi kepada peniaga-peniaga, ahli korporat, ahli politik, penjawat awam dan siapa sahaja yang mahu memajukan diri. Sehingga kini, beliau masih terus aktif dalam memberi ceramah dan motivasi kepada masyarakat.

Beliau telah banyak bertungkus lumus dalam usaha membawa Securiforce yang tidak dikenali langsung 30 tahun dahulu supaya menjadi sebuah syarikat kawalan keselamatan yang terbesar di Malaysia dan berjaya menyaingi lebih 400 buah syarikat lain seumpamanya.Beliau kini mengepalai lebih 65 buah cawangan, mengetuai lebih 6,000 kakitangan, dan dikelilingi dengan ratusan senjata api dan puluhan van kalis peluru.

Apa yang lebih membanggakan, van kalis peluru tersebut telah direkacipta dan dihasilkan oleh usaha Securiforce sendiri. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa perkhidmatan Securiforce bukan terhad kepada ‘static guard’ sahaja malah turut merangkumi logistik, cash-in-transit, pengurusan tunai, high - tech cargo management, perkhidmatan ‘armoured trucking’, dan pelbagai perkhidmatan yang lain. Securiforce memberikan pakej keselamatan yang lengkap dan total, mempelopori konsep ‘total security’.

Hasil daripada kegigihan beliau dan ‘team’nya menerajui syarikat, kini Securiforce mempunyai beberapa buah anak syarikat yang sedang berkembang maju. Antaranya ialah Danau Lumayan, pemaju hartanah di Bandar Tun Razak yang membina pangsapuri /kondominium mewah, ‘penthouse’ yang eksklusif dan lot-lot kompleks perniagaan.

Bagi menepati keperluan semasa, Securiforce juga turut bergiat aktif dan telah melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dengan menubuhkan Securiforce Logistik (agen penghantaran darat, laut dan udara), beliau telah melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa meliputi rantau Asia, Eropah dan Timur Tengah. Securiforce Logistik memiliki cawangan di Singapura, Bangkok, China, Korea, Turki dan Jerman. Apa yang menarik mengenai 'success story' Dr. Maznah ialah kesemua anak syarikatnya ditubuhkan dan berkembang maju tanpa sebarang bantuan kewangan daripada bank. Kejayaan ini, amat dikagumi oleh pelbagai pihak dan segala lapisan masyarakat. Prinsip kejayaan beliau ialah 'modal perniagaan yang sebenarnya adalah dirinya sendiri'.